7.4 C
London
Wednesday, December 8, 2021

Haramkan kapcai? Shahrol Yuzy bangkang keras

- Advertisement -
- Advertisement -spot_img

Baru-baru ini kecoh dalam media sosial apabila ada orang yang dipanggil “pakar’ mahu mengharamkan kapcai di atas jalan raya. Motif sebenar orang ini tidak diketahui, tetapi apa yang beliau nyatakan, kapcai adalah penyumbang utama kematian atas jalan raya dan mengganggu produktiviti negara.

Ini bukanlah kali pertama kita mendengar cadangan pengharaman kapcai di Malaysia, dan jumlah kemalangan yang tinggi di kalangan pengguna kapcai memang sudah jelas. Mengikut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), pengguna motosikal mempunyai 6.2 kali lebih risiko kemalangan berbanding pengguna kereta, dan 60% kemalangan maut atas jalan raya adalah melibatkan pengguna motosikal.

Namun, ini hanya statistik dari satu sisi sahaja. Bagaimana pula dengan punca sebenar kemalangan? Soalan itu juga tidak boleh dijawab oleh JSPT dan mereka tidak mempunyai catatan berkenaan perkara itu. Seperti yang kita ketahui, kemalangan atas jalan raya boleh disebabkan oleh pelbagai perkara seperti keadaan jalan, pemandu yang tidak fokus dan pelbagai lagi.

Untuk mendapatkan pendapat dari sisi penunggang, kami mendekati Shahrol Yuzy, yang merupakan bekas pelumba motosikal profesional, pengendali pasukan lumba dan presiden Persatuan Sukan Bermotor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Perkara pertama yang beliau utarakan adalah rasa kecewa dengan cadangan tersebut (mengharamkan kapcai). “Dia ni siapa nak haramkan kapcai tiba-tiba? Kapcai adalah bahagian penting dalam ekosistem pengangkutan dan ekonomi negara. Jadi, nak haramkan ini memang perkara yang tak patut,” kata Yuzy.

“Jika mereka haramkan kapcai, bagaimana ekonomi dan perniagaan di Malaysia, terutamanya di kawasan padat nak berfungsi? Penunggang kapcai ini biasanya datang daripada golongan B40, dan mereka menggunakannya sebagai pilihan pengangkutan yang boleh diharap dan murah, untuk pergi kerja, servis penghantaran dan pelbagai tujuan lain. Kalau diharamkan, macam mana sektor ekonomi ini nak berfungsi?” tambah beliau.

Yuzy turut menyatakan bahawa pengharaman kapcai hanya kerana kadar kematian yang tinggi di kalangan penunggang adalah sama seperti mahu mengharamkan telefon bimbit kerana banyak pemandu yang tidak fokus apabila menggunakan telefon. “Pemandu yang menggunakan telefon bimbit semasa memandu lebih berisiko menyebabkan kemalangan. Adakah disebabkan itu kita patut mengharamkan terus telefon bimbit? kata Yuzy.

Beliau juga bukan setakat membangkang pengharaman kapcai ini, tetapi juga ada menyatakan beberapa cadangan sebagai penyelesaian. “Banyak masalah dengan pemandu tidak berdisiplin atas jalan raya adalah disebabkan kurang didikan. Subjek pelajaran di sekolah memandu juga lebih banyak menekankan tentang tanda jalan dan bagaimana untuk melepasi ujian sahaja. Selepas dah dapat lesen, semua benda mereka lupa,” tambah Yuzy.

Beliau sebaliknya mahukan pendidikan berkenaan peraturan dan etika atas jalan raya bermula dari sekolah rendah. Ia dikatakan boleh memberi manfaat kepada bukan sahaja penunggang motosikal, tetapi juga pemandu, pejalan kaki, penunggang basikal dan ramai lagi.

Yuzy juga menyokong sekiranya proses mendapatkan lesen dijadikan lebih ketat dan penambahan kursus selepas mendapat lesen. “Cuba tengok proses ujian lesen di Jerman dan Jepun. Nak dapat bukannya senang, tetapi untuk ditarik semula memang mudah. Apabila dibuat begini, barulah mereka akan lebih menghargai lesen yang ada dan tidak sewenang-wenangnya melanggar peraturan jalan raya,” kata Yuzy.

“Di Malaysia, ramai pengguna jalan raya rasa mereka boleh terlepas daripada kesalahan dengan mudah. Kalau ditangkap pun, mereka cuma perlu membayar RM150 atau RM300. Ini mudah sangat. Ia sepatutnya dijadikan lebih tinggi dan tegas,” tambah beliau.

Menutup perbualan kami, Yuzy menyatakan pengharaman kapcai ini memang tidak masuk akal. “Daripada haramkan terus, mereka sepatutnya memberikan fokus kepada keselamatan jalan raya secara umum, pendidikan yang lebih baik kepada pengguna jalan raya dan penyediaan pengangkutan awam yang lebih cekap. Kalau kapcai diharamkan dan diganti dengan motosikal elektrik pun, perkara sama masih akan berlaku, kerana kesedaran terhadap keselamatan jalan raya masih sama kurang,” kata Yuzy.

The post Haramkan kapcai? Shahrol Yuzy bangkang keras appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Latest news
- Advertisement -
Related news

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here