Smartlane di NKVE – lorong kecemasan dibuka pada waktu puncak, Setia Alam ke Shah Alam, 60 km/j

0
101

Jangan ‘rasa marah’ dan terus merakamkan foto untuk ditularkan sekiranya anda ternampak barisan kereta melalui lorong kecemasan di lebuhraya NKVE, pada waktu puncak.

Ini adalah kerana PLUS Berhad, selaku pengendali NKVE, telah mendapat ‘lampu hijau’ daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan polis, untuk menguji keberkesanan “Smartlane” bagi mengatasi aliran trafik sepanjang waktu puncak. Di mana dalam tempoh waktu puncak tersebut, lorong kecemasan dibuka sebagai laluan tambahan sementara untuk menambah kapasiti lorong dan membantu melancarkan aliran trafik.

Buat masa ini Smartlane sedang diuji di NKVE dari Setia Alam ke Shah Alam, iaitu dari KM 3.2 hingga KM 9.2 arah utara, dari jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi pada Isnin hingga Jumaat kecuali cuti am. Had kelajuan yang ditetapkan ialah 60 km/j. Ujian ini akan dilaksanakan sehingga 23 Januari 2022.

Sebenarnya, Smartlane ini bukanlah baru dilaksanakan. Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menjelaskan ujian tersebut sepatutnya bermula pada Oktober 2019, namun ditangguhkan ke Mac 2020. Walau bagaimana pun, ketika itu, negara sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi tidak perlulah lorong tambahan tersebut. Namun disebabkan sekarang semua sektor telah kembali beroperasi dan sesi persekolahan juga kembali dibuka, maka kesesakan trafik kembali ‘bermaharajalela’. Justeru, ujian Smartlane diteruskan sehingga waktu yang ditetapkan.

JSPT terpaksa menjelaskan perkara ini kerana terdapat video yang ditularkan pada awal minggu ini yang memaparkan kenderaan menggunakan lorong kecemasan tersebut. “Papan tanda dengan maklumat Smartlane telah dipasang di laluan itu supaya tidak berlaku salah faham dalam kalangan pengguna lebuh raya,” kata JSPT sambil berharap agar pengguna jalan raya akan lebih prihatin terhadap papan tanda jalan dan memastikan fakta tersebut adalah sahih sebelum memuat naik kandungan ke laman sosial media.

The post Smartlane di NKVE – lorong kecemasan dibuka pada waktu puncak, Setia Alam ke Shah Alam, 60 km/j appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here