Sepatutnya, jualan kenderaan EV di Malaysia dijangka bertambah rancak bermula tahun ini susulan daripada pengumuman pengecualian cukai import, duti eksais dan cukai jualan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2022. EV juga sepatutnya menikmati pengecualian penuh daripada cukai jalan, sementara pembeli akan diberikan pengecualian cukai pendapatan sehingga RM2,500 bagi pengecas EV. Semua ini untuk EV diimport, sah sehingga 31 Disember 2023.
Sebelum ini, syarikat kenderaan mengambil sedikit masa untuk mengumumkan senarai harga baru bagi model-model berkaitan. Kemudian, selepas harga mula muncul, berlaku pula perbandingan antara harga di Semenanjung bagi 2022 berbanding harga bebas cukai di Langkawi. Baru diketahui selepas itu, pengecualian berkenaan tidak melibatkan cukai jualan yang dikenakan ke atas EV CBU.
Kini, muncul pula satu lagi halangan, dengan pembeli EV mengadu tidak dapat mendaftarkan kenderaan mereka dengan JPJ, jika mereka ingin menikmati pengecualian cukai jalan 100% itu ketika ini. Bunyi macam kelakar, tetapi ketika ini didakwa berlaku penangguhan terhadap pendaftaran EV di sini, disebabkan pihak JPJ belum diberikan arahan untuk memansuhkan bayaran cukai jalan bagi EV baru. Perkembangan ini juga telah disahkan oleh beberapa pemain industri yang sempat paultan.org hubungi, walaupun satu sumber menyatakan JPJ perlu mengemaskini sistemnya, dan bukan disebabkan masalah arahan yang belum sampai.
Ada sumber lain mengatakan JPJ sedang berusaha mengatasi masalah ini, dijangka menjelang suku pertama nanti. Namun, ketika ini pendaftaran EV masih boleh dilakukan sekiranya pemilik sangguo membayar cukai jalan dan tidak mahu menunggu pengecualian penuh tersebut. Bagaimanapun, tiada siapa yang pasti ketika ini sama ada bayaran cukai jalan berkenaan boleh dituntut semula selepas pengecualiannya dilaksanakan nanti.
Dengan cukai jalan EV dikira mengikut output kilowatt motor berbanding kapasiti cc enjin bagi kereta biasa, sesetengan pemilik memilih untuk menunggu, dan sebahagian lagi mungkin tidak kisah. Sebagai contoh, pembeli Kona Electric e-Max 64 kWh mungkin merasakan RM463 yang perlu dibayar untuk motor 150 kW ke bawah bukan satu bebanan dan akan membayarnya. Tetapi bagi pemilik Taycan 4S pula misalnya, mereka mungkin ingin menunggu kerana kapasiti motornya 390 kW dan cukai jalan yang dikenakan ialah RM7,504 — satu angka yang besar, walaupun melihat kepada kemampuan untuk membeli kereta berkenaan, ini bukanlah satu angka yang pemiliknya tidak mampu bayar.
Apa pun, pemilik Taycan ketika ini tentunya tidak akan membayar jumlah berkenaan, kerana apa yang difahami, pengurangan cukai jalan 50% bagi kereta elektrik dan hibrid yang diumumkan oleh kerajaan PH pada 2019 masih digunapakai.
Untuk itu, cukai jalan untuk Taycan adalah RM3,752 ketika ini, dan ini ditambah pula dengan penjimatan RM105,000 daripada pengecualian duti import dan eksais. Tetapi kerana sudah diumumkan cukai jalan percuma, maka tak salah untuk pembeli menuntut perkara itu. Kami akan bawakan perkembangan seterusnya berkaitan hal ini, terutama maklum balas daripada pihak berwajib nanti. Perhatikan ruang ini.
The post Pendaftaran kereta elektrik di Malaysia ditangguh, JPJ tidak jelas tentang pengecualian cukai jalan untuk EV appeared first on Paul Tan’s Automotive News.