Berhubung dengan cadangan untuk menetapkan had laju 30 km/j dan 50 km/j dalam zon terpilih di sekitar ibu negara, Kementerian Wilayah Persekutuan berkata akan menilai kajian tentang pelaksanaan tersebut.
Menurut menterinya, Datuk Seri Shahidan Kassin, cadangan mengenai perkara itu masih dalam peringkat kajian dan hasilnya akan diumumkan dalam masa terdekat, laporan Berita Harian.
“Kita tahu banyak benda yang kita buat ada setuju dan ada tidak bersetuju. Kita melihat lebih kepada kesesuaian serta penerimaan semua pihak. Kita terima semua pandangan berhubung perkara ini dan kita ambil kira semuanya. Apa yang penting matlamat tercapai dan rakyat gembira,” katanya.
Pada awal Januari lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dikatakan sedang berusaha untuk memperkenalkan had laju 30 km/j dan 50 km/j di zon terpilih di sekitar ibu kota Kuala Lumpur tidak lama lagi. Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Lembaga Pengarah MIROS, Datuk Suret Singh, melalui Twitternya
Katanya, kerjasama antara kedua-dua pihak terbabit melibatkan dalam mengenalpasti jalan raya di mana had laju tersebut boleh diperkenalkan sebagai langkah keselamatan. Selain itu, ia juga melibatkan perkongsian data kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kesalahan trafik.
Sebelum ini, MIROS mencadangkan had laju standard 30 km/j untuk kawasan bandar, desa dan kediaman sebagai sebahagian daripada Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2021-2030. Cadangan had laju 30 km/j di kawasan-kawasan seperti dinyatakan itu adalah juga sebahagian daripada kempen “Street for Life” di bawah Minggu Keselamatan Jalanraya Global PBB ke-6 (UNGRSW), yang mensasarkan untuk pemberdayaan komuniti di Asia Tenggara untuk melaksanakan had 30 km/j di kawasan yang menyaksikan pejalan kaki bercampur dengan trafik.
Kementerian Pengangkutan (MOT) juga sedang meneliti secara mendalam perkara ini, yang disahkan sendiri oleh menterinya, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong.
“Saya ada dengar cadangan itu. Saya akan panggil semua (pemain industri) untuk mengadakan perbincangan kerana ia melibatkan stakeholders. Kedua, ada pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga yang telah usulkan supaya kita dapat kurangkan kadar had laju di Malaysia ini.
“Tetapi kita lihat di Malaysia ini punca kemalangan sebenarnya mempunyai pelbagai faktor dan bukan sahaja berdasarkan kepada kelajuan. Pihak saya akan mengimbangi semua faktor dan melihat dari segi semua sudut bagi mencari jalan yang terbaik,” katanya.
The post Pelaksanaan had laju 30 km/j dan 50 km/j di zon terpilih sekitar ibu negara akan dikaji – Shahidan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.