Ta Win Holdings bangunkan kilang baru bagi rebut peluang peningkatan industri EV di Asia Tenggara

0
193

Anda mungkin tak tahu, ada bahagian penting dalam kereta elektrik Tesla sebenarnya dihasilkan di Malaysia bukan? Ta Win Holdings, salah satu pengeluar tembaga terbesar dalam negara yang membekalkan rod wayar tembaga kepada Tesla dan Toyota menerusi pembekal komponen automotif iaitu Aptiv yang berpusat di Ireland, menjangkakan ia akan membuka kilang baharu dengan teknologi pembuatan mereka sendiri.

Ini adalah kerana syarikat tersebut mahu merebut peluang-peluang baharu dalam industri mobiliti elektrik yang kini semakin rancak. Pengarah urusan Ta Win, Ngu Tieng Ung memberitahu Nikkei Asia bahawa permintaan terhadap produk yang dikeluarkan syarikatnya kini sedang meningkat naik, terutamanya apabila semakin banyak jenama automotif mewujudkan barisan pembekalan dan pembuatan mereka di Asia Tenggara.

November lalu, Ta Win telah pun mula membina kilang penyinaran alur elektron pertama dalam negara milik swasta menerusi anak syarikatnya iaitu Cyprium Wire Technology. Kilang berkenaan terletak di Alor Gajah, Melaka. Teknologi pembinaan dan juga pembuatan kilang tersebut diuruskan oleh CGN Dasheng Electron Accelerator Technology, iaitu anak syarikat China General Nuclear Power Group.

Menurut Ngu, setelah kilang tersebut siap ia akan membantu Ta Win untuk membekalkan wayar ikatan silang penyinaran untuk industri kenderaan elektrik global, dan juga produk-produk kabel yang menggunakan teknologi ikatan silang alur elektron mereka yang sudah dipatenkan.

Ngu turut menjelaskan bahawa wayar ikatan silang penyinaran tersebut mampu bertahan sehingga 25 tahun dan tahan panas sehingga 300 darjah selsius – ia adalah jauh lebih baik dari produk menggunakan penebat biasa yang hanya bertahan selama tujuh tahun dan tahan suhu hanya sehingga 105 darjah selsius. Wayar ikatan silang penyinaran ini juga lebih kalis terhadap lecetan, api, minyak dan asid, membolehkan ia lebih sesuai sebagai material untuk aplikasi EV bervoltan tinggi.

Ngu berkata kilang baharu tersebut akan mempunyai kapasiti untuk menghasilkan wayar dan kabel ikatan silang penyinaran sepanjang 420 km sehari. Kereta elektrik biasanya memerlukan wayar sepanjang 6 km hingga 8 km, “di mana 70% daripadanya adalah wayar voltan tinggi,” tambah Ngu lagi.

“Sebagai pengeluar wayar tembaga voltan tinggi milik swasta di rantau ini, kami mempunyai peluang yang sangat cerah…kami sudah mula menerima pelbagai pertanyaan,” kata Ngu.

Kilang berkenaan dijangka akan siap pada Jun, tetapi Ta Win merancang untuk menambah dua lagi fasiliti produksi dalam masa 24 bulan. “Ia tentu akan meletakkan kami di landasan bagi terus memacu perniagaan kami dalam rantaian pembekalan EV global serta memperkasakan prospek jangka masa panjang kami untuk maju kehadapan,” tambahnya lagi.

Ta Win Holdings telahpun tersenarai dalam Bursa Malaysia dan mempunyai nilai pasaran berjumlah RM478 juta. Selain membekalkan wayar tembaga kepada Aptiv, Ta Win turut memegang kontrak jualan eksklusif dengan Posco International (syarikat perdagangan terbesar Korea Selatan) untuk membekalkan rod wayar tembaga.

Kontrak yang bernilai kira-kira RM2.7 bilion tersebut melibatkan pembekalan produk tembaga seberat 65,000 tan metrik selama tiga tahun kepada pelanggan utama Posco iaitu lljin Materials dan SK Nexilis.

The post Ta Win Holdings bangunkan kilang baru bagi rebut peluang peningkatan industri EV di Asia Tenggara appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here