Geely Emgrand dilancar di Filipina – harga bermula RM65k, 1.5L NA 102 PS/142 Nm, transmisi 5MT & CVT

0
135

Selepas tiga SUV dilancarkan di Filipina iaitu Azkarra, Coolray (kembar kepada Proton X50) dan Okavango, Geely kini melancarkan model sedan pertamanya di pasaran berkenaan iaitu Geely Emgrand. Sedan berkenaan buat masa sekarang ditawarkan dalam dua varian, dan akan disusuli dengan varian tambahan selepas ini.

Ia dijual pada harga bermula 798,000 peso Filipina (RM65,145) untuk varian pertengahan Emgrand Comfort, diikuti varian paling tinggi Emgrand Premium dijual pada harga PHP908,000 (RM74,124). Manakala varian tambahan yang akan menyusul selepas ini adalah varian asas Emgrand S, namun harganya belum lagi diumumkan.

Dari segi segmentasi, Geely meletakkan Emgrand sebagai model segmen-B yang berhadapan terus secara khusus dengan Toyota Vios dan Honda City di Filipina. Namun jika dilihat pada dimensi – 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi serta jarak roda sejauh 2,650 mm – saiz Emgrand sebenarnya menghampiri model segmen-C.

Sebagai perbandingan, saiz Honda City adalah 4,553 mm panjang (85 mm lebih pendek), 1,748 mm lebar (-72 mm), 1,467 mm tinggi (+7 mm) dan jarak roda sejauh 2,600 (-50 mm). Toyota Vios juga jauh lebih kecil dengan dimensi 4,425 mm panjang (-213 mm), 1,730 mm lebar (-90 mm), 1,475 mm tinggi (+15 mm) dan jarak roda sejauh 2,550 mm (-100 mm). Angka-angka yang disebutkan ini adalah berdasarkan spesifikasi model pasaran Filipina.

Model ini menampilkan rekaan sebuah sedan konvensional dengan lampu hadapan projektor bersama tiga jalur lampu nyalaan siang LED pada bahagian ‘kening’, direka seakan bersambung dengan garis bahu membawa ke lampu belakang. Pada bahagian muka, Emgrand hadir dengan gril jejari menegak, bersama perumah lampu kabus berbentuk segi-tiga pada bampar.

Manakala di belakang, Emgrand diberikan lampu dengan bar bernyala yang merentangi sepenuhnya penutup but, bersama jalur grafik lampu utama berbentuk-N. Perumah nombor pendaftaran diletak tinggi pada penutup but, manakala pada bahagian bampar menampilkan kemasan seakan diffuser tanpa menyerlahkan sebaran tip ekzos.

Pada bahagian kabin, model ini menerima papan pemuka yang direka minimalis serta yang direka dengan elemen melintang dan berlapis. Model pasaran Filipina ini diberikan skrin infotainmen berdiri sendiri-lapan inci di tengah. Model varian Comfort dan Premium pula diberikan brek parkir elektronik yang diletakkan pada konsol tengah, di belakang tombol gear.

Dari segi kelengkapan, model asas varian S menerima lampu hadapan halogen projektor, lampu nyalaan siang LED, cermin sisi berkuasa, rim besi 15-inci dengan tayar 195/65R15, kemasan dalaman berwarna hitam, dua pembesar suara, tempat duduk hadapan larasan manual, upholsteri fabrik, sistem penghawa dingin automatik dengan liang kabin belakang, paparan pelbagai informasi 3.5-inci pada paparan instrumen, kawalan kestabilan elektronik dan kawalan cengkaman, sistem brek ABS dengan EBD, bantuan mula mendaki, pemantau tekanan angin tayar dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

Varian Comfort pula menerima peningkatan kelengkapan seperti rim aloi 17-inci dengan tayar 205/50R17, lampu hadapan automatik LED projektor, empat pembesar suara, tempat duduk pemandu dengan lebih larasan (masih manual), kamera undur, penderia parkir belakang, cruise control dan juga sistem kunci berpusat automatik berdasarkan penderia kelajuan.

Model tertinggi Premium pula menerima kit-kit yang sama dengan varian Comfort, tetapi ditambah dengan fungsi penyahfros pada cermin sisi, pembuka but belakang tanpa sentuhan, kabin dengan tema warna putih dan biru, tambahan dua lagi pembesar suara (enam keseluruhan) tempat duduk pemandu larasan elektrik enam hala, upholsteri leatherette dan sued, bumbung suria, paparan instrumen digital sepenuhnya bersaiz 12.3-inci, bersama tambahan beg udara sisi dan tirai.

Kesemua varian Geely Emgrand ini dijana oleh enjin JLC-4G15B 1.5 liter empat silinder NA, yang menghasilkan 102 PS (101 hp) pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 142 Nm bermula 4,400 hingga 4,800 rpm. Ia agak kurang berkuasa berbanding Emgrand pasaran China yang menjana 114 PS (112 hp) dan tork maksima 147 Nm dari unit enjin yang sama.

Model varian asas S menerima kotak gear manual lima-kelajuan, manakala varian lebih tinggi Comfort dan Premium hadir dengan kotak gear CVT automatik bersama lapan-kelajuan maya, serta mod pemanduan Eco, Comfort dan Sport. Kesemua varian tampil dengan suspensi topang McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang, manakala hanya varian S diberikan brek dram di belakang, berbanding empat brek cakera pada varian Comfort dan Premium.



Ada khabar mengatakan bahawa Emgrand turut akan tiba di Malaysia dengan lencana Proton. Namun berbeza dengan X50 dan X70 sebelum ini, Emgrand bakal menerima rekaan tersendiri dari Proton yang berbeza dari model pasaran Filipina dan China ini, tetapi masih menggunakan platform BMA yang sama.

Sebelum ini Proton ada mengesahkan bahawa mereka bakal menggunakan enjin 1.5 liter tiga silinder Turbo dengan sistem suntikan pelbagai titik (sama seperti X50 varian Premium ke bawah) bersama kotak gear klac berkembar DCT tujuh kelajuan untuk model yang dibangunkan sendiri di Malaysia.

Jadi ada kemungkinan besar sedan yang dibangunkan oleh Proton berasaskan platform BMA Emgrand, tetapi menampilkan enjin lebih berkuasa dan transmisi lebih baik berkenaan bukanlah model gantian untuk sedan segmen-B Proton Persona, ia mungkin model gantian untuk Proton Preve dan berhadapan terus dengan Honda Civic dan Toyota Corolla, kerana buat masa sekarang Proton memang tiada sedan segmen-C dalam barisan model yang dijual di bilik pameran.




















The post Geely Emgrand dilancar di Filipina – harga bermula RM65k, 1.5L NA 102 PS/142 Nm, transmisi 5MT & CVT appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here