Hyundai kini menjadi antara pelopor perkembangan kenderaan elektrik (EV) di peringkat dunia. Dan, pengedar tempatan, Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) juga melakukan hal yang sama di sini.
Syarikat itu telah memperkenalkan Kona Electric, dan kini sedang mempersiap pula pengengalan Ioniq 5.
Ini dapat diteka daripada poster “Dibuka untuk tempahan sekarang” yang dikeluarkan oleh pengedar Hyundai, Sing Kwung Premium. Jika tempahan sudah mula diambil, sangat pasti HSDM akan melancarkan model EV ini untuk pasaran Malaysia dalam masa terdekat. Menurut sumber, ia boleh jadi seawal Mac nanti, dan akan ditawarkan dalam dua pilihan bateri seperti Kona Electric.
Ioniq 5, yang diumumkan pada Februari 2021 sebagai model pertama di bawah sub-jenama Ioniq bagi EV, adalah sebuah hatchback besar dengan dua pilihan bateri — 58 kWh dan 72.6 kWh. Malaysia akan menerima kedua-duanya, dan variannya akan dijenamakan sama seperti Kona Electric juga — maka boleh dijangkakan Lite, Plus dan Max, jika hanya ada tiga varian ditawarkan kelak.
Di pasaran global, versi bateri 72.6 kWh didatangkan dalam janaan 215 hp/350 Nm (160 kW) motor tunggal pacuan belakang, atau 302 hp/605 Nm (225 kW) dwi-motor dengan sistem AWD. Namun Ioniq 5 paling berkuasa ini mungkin tidak akan ditawarkan di sini. Ia mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat dan laju maksimum 185 km/j. Varian ini mempunyai jarak perjalanan 430 km dengan kitara WLTP.
Uniknya, Ioniq 5 mampu menyokong 400 V dan 800 V melalui lonjakkan pada motor elektrik dan inverternya, dan bukan menggunakan pengecas binaan dalam berasingan. Dengan pengecas pantas 350 kW DC, pengguna boleh mengecas dari 10 hingga 80% dalam masa 18 minit sahaja. Dengan lima minit mengecas pun ia mampu memberikan jarak tambahan 100 km (WLTP).
Di sini, kita perlu tunggu untuk tahap pengecas seperti ini disediakan. Pengecas pantas DC yang ada ketika ini, seperti di rangkaian Shell Recharge adalah 180 kW. Pada kadar 50 kW, bateri 72.6 kWh Ioniq 5 boleh sampai ke 80% dalam masa 62 minit. 230V di rumah? Itu 0-100% memerlukan 31 jam.
Satu ciri menarik adalah soket vehicle-to-load (V2L) di bawah kerusi belakang, yang boleh membekalkan hingga 3.6 kW untuk untuk kegunaan basikal elektrik, skuter atau kelengkapan perkhemahan. Lebih menarik adalah rekaan reka bentuknya adalah adaptasi daripada Hyundai 45 Concept ketika pameran Frankfurt 2019, yang ketika itu turut mengambil ilham dari Hyundai Pony Coupe Concept 1974 oleh pereka Itali, Giorgetto Giugiaro.
Ioniq 5 bersaiz agak besar. Ukurannya adalah 4,635 mm panjang dan 1,890 mm lebar, ia 430 mm lebih panjang dan 90 mm lebih lebar berbanding Kona Electric, dengan jarak antara rodanya yang tiga meter itu, Ioniq 5 adalah 400 mm lebih panjang berbanding Kona. Jarak antara rodanya juga lebih panjang dari Toyota Camry (2,825 mm) dan Mercedes-Benz E-Class (2,939 mm). Ini kereta besar.
Untuk harga, boleh dijangkakan model ini nanti akan dijual lebih mahal berbanding Kona Electric, yang dijual pada harga RM150k (39.2 kWh) hingga RM200k (64 kWh).
The post Hyundai Ioniq 5 — poster “dibuka tempahan” muncul, 58 kWh/72.6 kWh AWD, dilancarkan seawal Mac nanti? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.