Selepas GSX-S150 dan GSX-R150, Suzuki Malaysia hari ini mendedahkan pula harga awal bagi Raider R150 Fi, iaitu RM8,xxx. Ini adalah model yang ditunggu-tunggu ramai penggemar motosikal Suzuki di Malaysia kerana dianggap sebagai penyambung generasi Belang yang pernah ditawarkan dalam pasaran sebelum ini.
Mengikut pengumuman yang dibuat hujung tahun lepas, tiga model ini sepatutnya dilancarkan pada suku pertama 2022, namun Suzuki Malaysia masih belum menyatakan tarikh sebenarnya. Apa yang dilakukan bersama teaser ini adalah pembukaan pendaftaran minat.
Melihat kepada negara jiran, Raider R150 Fi (juga dikenali sebagai Satria 150 di Indonesia) dipacu oleh enjin satu silinder DOHC suntikan bahan api yang dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan, dan mampu menghasilkan kuasa 18.2 hp pada 10,000 rpm dan 13.8 Nm tork pada 8,500 rpm.
Berat keseluruhan model ini cuma 109 kg, dan ia didatangkan dengan tangki bahan api empat liter, kerangka Twin Spar, ruang simpanan kecil di bawah tempat duduk, lampu hadapan LED, panel instrumen digital serta brek cakera depan dan belakang.
Apabila memasuki pasaran nanti, Raider R150 Fi akan bersaing dengan model terkenal seperti Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R, serta beberapa lagi kapcai di dalam segmen itu termasuk Yamaha Y16ZR, Honda RS-X, Benelli RFS150i dan SYM VF3i.
GALERI: Suzuki Raider R150 Fi Vietnam
The post Suzuki Raider R150 Fi 2022 – harga awal penyambung generasi Belang didedah, RM8,xxx, 18.2 hp, 13.8 Nm appeared first on Paul Tan’s Automotive News.