Tiada sebarang rancangan dari kerajaan untuk menghapuskan kutipan bayaran tol pada masa hadapan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sabak Bernam Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh dalam sidang Parlimen awal minggu ini.
Ini kerana kerajaan tidak mampu untuk mengambil langkah sedemikian kerana perlu membayar sejumlah amaun yang besar kepada syarikat konsesi lebuh raya bagi menghapuskan bayara tol, lapor The Edge Market.
“Kami kini sedang berunding bagi mencari solusi menang-menang yang tidak akan membebankan rakyat dan juga kerajaan dalam aspek kedudukan kewangan kita,” kata menteri berkenaan.
Perbahasan berkenaan tol di Parlimen ini sudah tentu turut membincangkan hal bayaran menggunakan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari tol Juru hingga tol Skudai bermula Januari lalu, yang mencetuskan kesesakan di beberapa tempat kerana sistem berkenaan kurang efisien.
Fadillah mempertahankan penggunaan sistem tersebut kerana RFID adalah selari dengan sasaran kerajaan untuk mengimplementasikan sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) menampilkan gantri tanpa palang, yang kini telah digunakan secara meluas oleh negara-negara membangun.
Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan sudah pun meminta agar Touch ‘n Go Sdn Bhd mengkaji semula harga tag pelekat RFID yang didakwa terlalu mahal, berikutan hantaran Facebook yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa tag tersebut hanya menelan kos tidak sampai RM1 untuk dihasilkan.
Berikutan itu, kerajaan telah pun meminta laporan terperinci dari PLUS dan Touch ‘n Go untuk kepastian. Dan semalam kerajaan telah pun menggesa Touch ‘n Go agar menurunkan harga kit pemasangan sendiri RFID berkenaan, yang kini dijual pada harga RM35.
Dalam sidang ini juga Fadillah menjelaskan bahawa kerajaan tidak menggunakan sistem Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) yang lebih efisien seperti digunakan oleh Singapura kerana ia lebih mahal dan membebankan pengguna di Malaysia. “Disebabkan kekangan kos dan pelaksanaan yang akan membebankan rakyat, sistem ini tidak akan [diperkenalkan] di Malaysia,” jelasnya.
Sistem ERP di Singapura tersebut sebenarnya turut menggunakan teknologi RFID sebagai asas. Apa yang berbeza adalah ERP menggunakan transponder aktif yang digelar sebagai unit dalam-kenderaan atau IU. Peranti berkenaan beroperasi menggunakan kuasa elektrik dari kenderaan itu sendiri membolehkan ia mengesan isyarat dari gantri ERP dengan lebih baik.
Namun peranti IU tersebut bukan murah – ia berharga SGD155.80 (RM480) seunit, dan ia wajib dipasang untuk setiap kereta baharu yang dijual di republik itu.
Berbalik kepada sistem bayaran tol tanpa palang menggunakan teknologi RFID menerusi sistem MLFF, ia bakal diimplementasikan sepenuhnya pada tahun 2025. Pembuktian konsep (POC) bagi sistem tersebut sudahpun beroperasi di Lebuhraya Besraya awal tahun ini, dengan gantri operasi sistem berkenaan telah pun dipasang di KM5.5 (Arah Utara) dan dijadualkan untuk membuat pengumpulan data selama tiga bulan bermula awal 2022.
The post Kerajaan tak rancang hapuskan kutipan tol – menteri appeared first on Paul Tan’s Automotive News.