Toyota Vios facelift 2022 – teaser mula disiar, akan dilancarkan pada pasaran Malaysia tidak lama lagi

0
134

Laman-laman media sosial Toyota Malaysia kini sudahpun menyiarkan video teaser yang bertajuk “Vios – Irresistible As Ever”, menandakan bahawa model kemaskini untuk sedan segmen-B tersebut bakal diperkenalkan tidak lama lagi.

Video tersebut tidak menampilkan sebarang imej kereta. “Jangan terpedaya dengan ketenangan persekitaran anda kerana apa yang akan datang pasti akan mengujakan anda,” tulis kapsyen pada video yang memaparkan tasik yang tenang, tetapi secara tiba-tiba papan tanda amaran di tepinya di makan oleh “raksasa misteri”.

Video ini juga sebenarnya dikaitkan dengan video iklan bertajuk “Bait” untuk Vios generasi pertama di Malaysia pada tahun 2005. Video tersebut memaparkan raksasa misteri di dalam tasik, yang menggunakan mock-up Vios untuk mengumpan manusia.

Untuk model kemaskini 2022 ini, Vios pasaran Malaysia dijangka menerima peningkatan sama seperti model kemaskini Vios pasaran Thailand (dikenali sebagai Yaris Ativ) yang dilancarkan pada September tahun lalu. Model tersebut diberikan beberapa penyegaran rupa dan juga perubahan kelengkapan.

Untuk rupa, model kemaskini pasaran Thailand berkenaan diberikan bampar hadapan baharu dengan perumah lampu kabus lebih lebar dan besar. Ia juga menerima bahagian apron bawah bampar belakang yang sedikit berbeza. Selain dari perubahan yang dinyatakan ini, bahagian lain masih lagi nampak sama. Begitu juga dengan bahagian kabin, tiada perubahan besar diberikan.

Model kemaskini pasaran Thailand tersebut juga mula diberikan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang menampilkan fungsi seperti Sistem Pra-pelanggaran (PCS) yang terdiri dari brek kecemasan automatik (AEB) dan Amaran Keluar Lorong (LDA). Sistem-sistem ini sebenarnya telah pun diberikan pada Vios pasaran Malaysia sejak model facelift terakhir yang dilancarkan pada Disember 2020, malah ia turut menerima fungsi pemantau titik buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang.


Jadi untuk Vios 2022 pasaran Malaysia kelak, ia mungkin akan hanya menerima penyegaran dari segi rupa dan sedikit perubahan kelengkapan. Ia turut dijangka mengekalkan sistem mekanikal yang sama, digerakkan dengan enjin 2NR-FE 1.5 liter empat-silinder Dual VVT-i berkuasa 107 PS dan tork maksima 140 Nm, digandingkan bersama kotak gear CVT automatik.

Ini mungkin kemaskini terakhir yang diberikan pada generasi XP150 sedia ada yang sudah pun mula dijual bermula pada tahun 2013. Toyota dilaporkan sudahpun mula membangunkan Vios generasi baharu yang dikenali dengan kod projek D92A, diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) seperti Perodua Ativa/Daihatsu Rocky/Toyota Raize.

Model generasi keempat berkenaan dijangka akan dilancarkan di Thailand pada Ogos tahun ini. Ia juga mungkin akan menerima varian e:Smart Hybrid seperti Daihatsu Rocky Hybrid JDM, untuk berhadapan terus dengan Honda City Hybrid e:HEV.

The post Toyota Vios facelift 2022 – <em>teaser</em> mula disiar, akan dilancarkan pada pasaran Malaysia tidak lama lagi appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here