Pengarah Belanjawan Negara, Datuk Johan Mahmood Merican mengesahkan kerajaan akan terus memberikan subsidi walaupun harga minyak global meningkat ekoran pergolakan antara Russia dan Ukraine. Langkah ini dilihat dapat melindungi rakyat daripada mengalami kesan inflasi yang mendadak.
Katanya, selain itu, ia adalah komitmen kerajaan yang turut mengambil kira keadaan ekonomi negara yang masih di peringkat awal pemulihan pasca COVID-19, laporan Bernama.
“Kerajaan mengekalkan dasar subsidi semasa untuk melindungi rakyat daripada kenaikan harga barangan dan gangguan kepada rantaian bekalan makanan, walaupun kos kepada subsidi itu meningkat secara mendadak,” katanya.
Jelasnya, kesan pergolakan antara kedua-dua negara itu mengakibatkan kenaikan harga minyak melebihi AS$100 setong, sedangkan Bajet 2022 yang disediakan kerajaan adalah atas unjuran atau andaian harga minyak sebanyak AS$67 setong.
“Rakyat pada ketika ini masih dapat menikmati harga minyak RON95 pada kadar RM2.05 seliter, iaitu antara yang termurah, jika dibandingkan dengan negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi, termasuk negara jiran yang perlu membayar lebih kurang dua kali ganda. Harga tanpa subsidi kini sudah mencapai RM4.00 seliter,” tambah beliau.
Pada awal bulan ini, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan mekanisme subsidi minyak akan dikaji semula supaya ia dapat dilaksanakan dengan lebih bersasar. Ia juga bagi menumpukan bantuan dan subsidi kepada golongan rentan serta mereka yang benar-benar memerlukannya.
Menurut KAF Research baru-baru, Kerajaan Malaysia mungkin terpaksa membelanjakan sejumlah RM28 bilion untuk subsidi minyak tahun ini sekiranya harga minyak mentah kekal di atas paras US$100 (RM419) setong.
The post Kerajaan teruskan pemberian subsidi minyak bagi lindungi rakyat dari kesan inflasi mendadak – Johan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.